Pages

Monday, 26 December 2011

PENGUJIAN DAN PENILAIAN

PENGUJIAN DAN PENILAIAN BAHASA MELAYU
Sejarah perlaksanaan pengujian dan penilaian bahasa Melayu bermula pada tahun 1957 apabila Sijil Pelajaran Bahasa Kebangsaan diwajibkan (Asmah Hj. Omar 1976, Mohd Khusairi Hj Abdullah 1983).
Sebelum peperiksaan ini dikelolakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dengan nama peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), pengendaliannya pada peringkat awal dilakukan oleh Universiti of Cambridge Local Examinations Syndicate. Selepas itu, pengujian dan penilaian mata pelajaran bahasa Melayu dalam sistem peperiksaan kebangsaan terus menerus dilaksanakan sama ada peringkat pendidikan menengah atau peringkat pendidikan rendah. Apabila seseorang guru ingin mengetahui tahap penguasaan pelajar-pelajarnya terhadap kemahiran dan isi pelajaran yang telah diajar, dengan sendirinya guru tersebut terpaksa membuat beberapa ketentuan yang melibatkan soal-soal pengukuran. Dengan mengukur hasil pembelajaran maka guru tersebut dapat mengetahui tahap penguasaan pelajar terhadap isi pelajaran serta perubahan sikap dan nilai pengetahuan matapelajaran tersebut. Membuat penilaian terhadap hasil pengukuran dapat juga membantu guru menentukan perkembangan dan kemajuan hasil pengajaran dan pembelajaran yang telah dilaksanakan di dalam bilik darjah. Dan hasil daripada penilaian yang dibuat akan dapat membantu tindakan susulan yang boleh diambil oleh guru bagi memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada kepada pelajar.
Penilaian dan pengujian dalam sesi pengajaran dan pembelajaran adalah sama pentingnya  dengan proses pengajaran. Matlamat utama penilaian dijalankan ialah untuk meningkatkan atau memperbaiki  pembelajaran. Sekiranya ditinjau dari aspek yang lebih luas, penilaian yang dijalankan memberi manfaat besar  kepada guru pelajar serta ibu bapa  malah  kepada pihak sekolah serta kementerian sendiri apabila memberikan maklumat yang tepat dan berkesan.
Penilaian adalah proses mengenalpasti, memperoleh dan menyediakan maklumat berguna bagi keputusan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada pada kita. Penilaian menentukan jurang perbezaan antara “apa yang dihasilkan” dengan “apa yang dihasratkan” dari sesuatu program pendidikan. Dalam pendidikan, penilaian ialah sistem atau proses yang meliputi aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, bagi membuat analisis dan keputusan dengan tujuan tindakan lanjutan (Yahya Othman, 2005).
PENILAIAN KENDALIAN BERASASKAN SEKOLAH (PKBS)
Penilaian yang dirancang oleh guru di peringkat sekolah ini dikenali sebagai Penilaian Kendalian Berasaskan Sekolah (PKBS). Melalui aktiviti penilaian guru dapat memastikan perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu dari aspek intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Untuk mencapai hasrat ini penilaian di sekolah haruslah memberi penekanan kepada konsep penilaian berterusan terhadap perkembangan bagi kesemua aspek tersebut. PKBS lebih bersifat formatif iaitu mengutamakan kemajuan setiap murid dari satu peringkat ke satu peringkat. Guru dapat membuat diagnostik bagi mengesan perkembangan murid dari semasa ke semasa. Ini memberi peluang kepada guru untuk membetulkan kesilapan dan memperbaiki kelemahan murid serta-merta supaya kelemahan tersebut tidak terhimpun. Di samping itu guru dapat mengenal pasti kelemahan dan memperkembangkan lagi kekuatan serta potensi murid. PKBS dirancang dan dilaksanakan oleh guru secara berterusan dalam proses pengajaran dan pembelajaran harian. Maklumat tentang perkembangan murid yang diperoleh dari semasa ke semasa melalui penilaian berterusan dapat membantu guru mengambil tindakan susulan yang sewajarnya jika perlu. PKBS boleh menilai kemajuan murid dalam pelbagai aspek termasuk aspek-aspek yang tidak dapat dinilai secara berpusat.
PENILAIAN SECARA BERPUSAT
Penilaian secara berpusat iaitu UPSR, PMR, SPM dan STPM dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Keputusan penilaian secara berpusat dapat memberi maklumat tentang pencapaian murid di seluruh negara. Pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia bertanggungjawab mengendalikan dan mengelola penilaian ini termasuk pembinaan item-item ujian, pentadbiran ujian, pemeriksaan dan penentuan pendekatan penilaian. Semua ini diurus secara rasmi mengikut peraturan-peraturan yang telah ditetapkan. Semua item-item soalan digubal berdasarkan kandungan sukatan pelajaran. Segala perkara atau maklumat berkaitan dengan penilaian akan diberitahu kepada calon-calon yang akan mengambil peperiksaan awam seperti syarat-syarat menduduki peperiksaan, pendaftaran, peraturan am, maklumat tentang kertas peperiksaan dan syarat pelaporan keputusan akan dinyatakan dengan jelas melalui risalah dan diedarkan kepada calon berkenaan tempoh satu tahun sebelum peperiksaan bermula. Tujuan penilaian secara berpusat adalah untuk menentukan pencapaian pembelajaran sesuatu tahap persekolahan. Dengan adanya penilaian ini maka pelajar akan dapat menentukan bidang atau jurusan yang patut dan perlu diikuti oleh mereka. Penilaian ini juga menentukan gred dan markah mengikut prestasi dan pemberian sijil kepada calon yang berjaya dalam peperiksaan mengikut prestasinya. Disamping itu pihak bertanggungjawab seperti Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah Pusat Perkembangan Kurikulum dapat mengenalpasti kelemahan dan kekuatan kurikulum dan seterusnya mengubahsuai mengikut maklumat dan objektif yang ditentukan. Dengan adanya penilaian secara berpusat pihak-pihak tertentu akan dapat menjalankan penyelidikkan berdasarkan maklumat dan data yang diperolehi daripada pengukuran dan tindakan seterusnya beberapa program akan dapat dijalankan diperingkat sekolah rendah dan sekolah menengah untuk membantu para pelajar.

No comments:

Post a Comment