Pages

Sunday, 7 August 2011

TEKNIK KAUNSELING Carls Rogers

Penerimaan Tanpa Syarat
Teknik ini menekankan supaya kaunselor mempunyai sikap menerima klien tanpa syarat iaitu tanpa menilai tingkahlaku, peristiwa atau perasaan klien sama ada baik atau jahat. Klien akan dapat merasa ketulenan kaunselor untuk menolongnya dan dengan wujudnya persepsi dan perasaan seperti ini, maka lebih mudahlah proses perubahan personaliti berlaku, kerana tidak akan terasa sebarang ancaman.


Empati
Sifat empati adalah kebolehan untuk merasa dan mengenalpasti perasaan orang lain dan kemampuan memberitahu kepada klien daripada sudut pandangannya, iaitu cuba masuk ke dalam ruang rujuk klien.

Ketulenan
Sifat jujur, ikhlas dan tulen harus ada pada kaunselor yang menggunakan teknik ini. Ketulenan adalah kebolehan untuk menjadi sejati dan benar dengan orang lain. Kaunselor haruslah bersikap terbuka dengan klienya.

Aktif Mendengar dan berfikir
Mendengar dengan aktif memerlukan kaunselor bekerjasama di dalam proses berkomunikasi. Tumpuan yang penuh ataupun konsentrasi hendaklah diberikan kepada apa yang klien cakap samada secara lisan atau bukan lisan. Mengenal pasti perasaan dapat memberitahu kepada klien bahawa kaunselor sedang mendengar dan menggalakkan klien untuk bercakap lebih bebas.

Kongruen
Kongruen memerlukan kaunselor bersifat telus terhadap klien, iaitu jika kaunselor merasa marah terhadap cara klien berkomunikasi tetapi dia menyembunyikannya. Ini menyebabkan berlakunya tidak kongruen. Adalah menjadi satu dilema untuk menjadi kongruen kerana ia kadangkala bercanggah dengan sikap tidak menghukum.

Mendengar untuk merasa
Interaksi yang berkesan melibatkan pemahaman yang mendalam terhadap dunia seseorang dan menyatakan kefahaman itu kepada klien. Melalui pendengaran dan tindakan yang tepat, halangan yang merintangi persefahaman dua hala boleh dihindari.

Mendengar dengan empati
Mendengar dengan empati bermaksud kaunselor menyedari bahawa walaupun sesuatu perkara amat berat tetapi kaunselor perlu juga membantunya. Kaunselor perlu bertanya diri sendiri bagaimana kepercayaan dan keputusan walau pun ia mungkin gagal tetapi boleh mengurangkan kerisauan klien.

Menghormati
Menghormati adalah kemahiran interpersonal yang menunjukkan penghargaan tentang keunikan orang lain, toleransi terhadap perbezaan atau kelainan, kemahuan dan keinginan untuk berinteraksi dengan orang lain secara sama rata.

Penerimaan yang mesra
Teknik ini merupakan keupayaan untuk bersifat terbuka, peramah dan menerima menggunakan komunikasi bukan lisan yang boleh menyampaikan isyarat-isyarat kongruen, keterbukaan dan kesudian untuk mendengar.

Konfrontasi
Konfrontasi merupakan keupayaan untuk memberitahu seseorang individu itu tentang perselisihan tingkah laku dan kesannya terhadap dirinya sendiri, dengan cara yang tidak agresif, tidak menghakimi, tidak kritikal atau tidak defensif (mempertahankan diri). Ia bertujuan untuk menyedarkan individu tersebut sama ada tingkah lakunya menggalakkan atau menghalang perhubungan interpersonalnya.

No comments:

Post a Comment