Pages

Thursday, 31 May 2012

STRATEGI DAN PELAKSANAAN PROSES P&P BAHASA MELAYU

Pelbagai aspek harus dikaji dan difikirkan dalam mengatur strategi dan pelaksanaan pengajaran Bahasa Melayu dalam melangkah ke era abad ke 21 menuju negara maju. Keperluan  terhadap kemahiran literasi dalam pengajaran bahasa dan kesusasteraan Melayu seharusnya selari dengan perkembangan dan kehendak kemahiran literasi dalam era masa kini. Lima aspek yang penting dalam kemahiran literasi, iaitu mendengar, bertutur, membaca, menulis dan berfikir memerlukansuntikan yang baru bagi menghasilkan generasi muda yang berketerampilan dalam penguasaan bahasa (Mahzan Arshad, 2003).
Bersesuaian dengan perkembangan pesat dalam bidang teknologi maklumat, pengajaran Bahasa Melayu perlu difokuskan kepada penggunaan peralatan komputer dan teknologi komunikasi bagi mendapatkan maklumat sama ada dengan melayari laman web yang bersesuaian atau menerusi pesanan ringkas elektronik. Pelajar juga diharapkan dapat menghasilkan bahan penulisan menggunakan pelbagai perisian sama ada bagi pemprosesan perkataan dalam Bahasa Melayu dan dapat menggunakan ciri-ciri perisian tersebut bagi membantunya membina ayat dan menggunakan perkataan atau istilah yang tepat ataupun dapat menggunakan perisian yang bercorak penyelidikan. Pedagogi bilik darjah Bahasa Melayu alaf baru perlu akan guru yang mahir menggunakan peralatan komputer, perisian komputer yang bersesuaian sebagai bahan pengajaran, malah mungkin sampai peringkat guru dapat membina bahan dan perisian komputer sendiri dalam pengajaran bahasa dan sastera Melayu. Guru Bahasa Melayu juga perlu membimbing pelajarnya menggunakan e-mel dan e-dagang dalam berkomunikasi secara lebih pantas dan mudah menerusi ruang siber dan peralatan multimedia. Kemahiran tersebutlah yang perlu dikuasai oleh guru Bahasa Melayu, dan latihan perguruan harus memberikan pendedahan awal kepada bakal guru supaya dapat menggunakan peralatan tersebut dengan berkesan.
Gaya penyampaian maklumat guru Bahasa Melayu juga telah berubah mengikut perkembangan peralatan multimedia terkini. Jika dahulu penulisan bahan dan maklumat dalam Bahasa Melayu hanya dapat disampaikan dalam bentuk kertas yang bercetak, sama ada dalam bentuk majalah, akhbar, atau buku, pada alaf baru ini bahan penulisan dan maklumat dalam Bahasa Melayu dapat disampaikan dengan cara yang agak berbeza. Dalam mod penyampaian yang baru ini, teks tidak sahaja dapat disampaikan dalam bentuk bahasa yang gramatis dan tersusun dalam perenggan yang lengkap menerusi media percetakan. Maklumat masa kini dapat disampaikan menerusi peralatan multimedia dalam pelbagai bentuk yang lebih menarik dilengkapi dengan pelbagai kesan audio dan visual. Sebagai contoh, maklumat menerusi multimedia yang paling popular masa kini ialah bahan berbentuk visual tiga dimensi berserta kesan audio yang melengkapi teks yang ditulis. Oleh itu pendidikan bahasa dan kesusasteraan Melayu di sekolah hari ini perlu menyiapkan pelajar dengan kemahiran mereka bentuk bahan yang bukan sahaja dalam bentuk penulisan karangan yang lengkap dan gramatis semata-mata. Mereka perlu mempunyai daya kreativiti bagi menjadikan maklumat yang disampaikan dapat menarik minat pembaca. Di samping menguasai kemahiran menulis, pe1ajar juga perlu dilatih supaya dapat membina bentuk grafik, visual tiga dimensi, dan kesan audio bagi melengkapi bahan berbentuk penulisan tersebut.
Zamri Mahamod 2011, menyatakan bahawa guru bahasa Melayu abad ke 21 perlu menguasai beberapa strategi P&P seperti
·       Strategi pengajaran dan pembelajaran koperatif dan kolaboratif (cooperative and collaborative learning)
·       Strategi pengajaran dan pembelajaran kontekstual (contextual learning)
·       Strategi pengajaran dan pembelajaran masteri (mastery learning)
·        Strategi pengajaran dan pembelajaran berasaskan masalah (problem based learning)
·        Strategi pengajaran dan pembelajaran berpusatkan pelajar (student centred learning)
·        Strategi pengajaran dan pembelajaran berasaskan modul (modul based learning)
·        Strategi pengajaran dan pembelajaran metakognitif (metacognitive learning strategies)
·        Strategi pembelajaran konteks luaran (outside context learning strategies)

WAN DYARUDIN BIN WAN MUSTAPPA
wdya70@yahoo.com

1 comment: