Pages

Monday, 13 August 2012

INOVASI GURU BAHASA MELAYU (GBM) MEKANISME PENGAJARAN BERKESAN

Menjadikan proses pembelajaran berkesan dalam setiap sesi pengajaran isi pelajaran menjadi fokus utama bagi setiap pendidik. Suasana pembelajaran yang dilatari keceriaan dan keharmonian proses pengajaran menjadi pemangkin ke arah mencapai objektif pelajaran yang telah dirancangkan. Sehubungan itu, guru bahasa Melayu (GBM) sebagai individu sentiasa bersama murid memainkan peranan penting bagi mewujudkan suatu bentuk proses P&P yang mampu memberi daya tarikan di kalangan para murid. Tegasnya, kemahiran dalam proses pengajaran oleh seorang guru yang ditunjangi daya inovasi menjadi asas utama berhubung isu ini.
Inovasi dapat difahami sebagai sesuatu yang dibuat dan dihasilkan oleh individu--individu kreatif dengan menggunakan daya imaginasi dan pemikiran mereka untuk menghasilkan sesuatu yang baru, kreatif dan berguna bagi manusia (Jauhara Hj. Tak, 1995). Hal ini merujuk kepada kebolehan serta kemahiran yang dapat dimanipulasi untuk menghasilkan sesuatu yang asli, bermutu dan berkualiti tinggi. Oleh itu, penghasilan satu bentuk pengajaran melalui daya inovasi disifatkan sebagai satu wadah pembelajaran yang memberi kesan ke atas satu-satu isi pelajaran. Justeru, adanya daya inovasi bagi seorang GBM yang dapat disesuaikan dengan proses pengajarannya akan menghidupkan lagi suasana dan meransang penyertaan murid dalam aktiviti pembelajaran. Fromm (1959) mengemukakan berkenaan individu kreatif sebagai seorang yang selalu melihat kepada yang baru. Oleh itu , individu seperti ini akan memperlihatkan sifat kedinamikan dalam setiap tingkah laku dan juga pemikirannya. Dalam konteks keguruan, inovasi berperanan sebagai momentum yang akan menghasilkan satu proses pengajaran berkesan seterusnya menjadi asas ke arah merealisasikan kecemerlangan akademik murid.
Sementara itu, Robiah Sidin dan Hassan Langgulung (1980) mengemukakan inovasi bagi seorang guru merupakan elemen yang dapat dipergunakan untuk menghasilkan satu bentuk pengajaran dinamik. Para GBM yang memiliki daya inovasi seringkali mendatangkan banyak idea baru selain dapat mengatasi masalah dengan menggunakan bahan-bahan serta situasi-situasi tertentu dengan cara luar biasa. Jelaslah bahawa sekiranya daya inovasi ini dapat dijelmakan dalam proses pengajaran oleh seorang GBM maka proses pembelajaran murid-muridnya akan mendapat limpahan maklumat pengetahuan maksimum.
Kemantapan proses pengajaran menerusi adunan kaedah, teknik dan pendekatan yang berinovasi oleh seorang GBM menjanjikan suatu proses pembelajaran yang menarik minat pelajar dalam mengikuti isi pelajaran yang disampaikan oleh guru tersebut. Seterusnya, inovasi GBM yang mewarnai proses pengajarannya akan menjadikan suasana pembelajaran yang kondusif selain membuka ruang untuk pelajar dalam memahami sepenuhnya isi pelajaran yang disampaikan dan sentiasa mengingati terhadap apa yang telah mereka pelajari itu. Malahan kreativiti GBM tersebut juga secara langsung menanam nilai murni kepada murid supaya melahirkan sesuatu yang berinovasi dalam pemikiran mereka.
Di samping itu, penghasilan proses pengajaran berkesan juga meliputi hubungan dua hala antara GBM dan murid. Bagi menjamin kelangsungan setiap isi pelajaran yang disampaikan hubungan ini akan merangsang tindak balas (respons) daripada kedua-dua pihak. Perhubungan GBM dan murid-murid terutamanya dalam bilik darjah berperanan sebagai medium yang menghubungkan isi pelajaran supaya ia dapat diterima sepenuhnya oleh murid. Sehubungan itu, kemahiran berkomunikasi GBM yang melibatkan gabungan inovasi dapat mewujudkan suatu suasana yang dapat mempengaruhi minda dan respons muridnya. Selain itu, Komunikasi yang baik diantara GBM dan murid akan mewujudkan kemesraan yang memberi kesenangan dalam proses pembelajaran sekaligus memberi input pengetahuan bermanfaat bagi murid-murid. Justeru, GBM sewajarnya memberi penekanan terhadap hal ini agar dapat menyumbang ke arah proses pendidikan melalui peningkatan dan perkembangan hubungan sosial positif terhadap setiap anak didiknya.
Inovasi dalam proses pengajaran juga melibatkan teknik atau kaedah yang digunakan oleh seorang GBM terhadap penyampaian kandungan pelajarannya. Kemahiran yang ada dalam menguruskan hal-hal ini akan menjana kemajuan dan prestasi murid ke arah membentuk kefahaman mereka. Abd Ghafar Md. Din (2003) menyatakan hal ini bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan masa pengajaran, jumlah murid, bahan pengajaran dan lain-lain lagi. Menurut beliau lagi, dengan menggunakan pelbagai kaedah pengajaran atau teknik pelajar tidak akan berasa bosan. Oleh demikian, teknik atau kaedah pengajaran yang bersesuaian akan menjadikan pengajaran GBM lebih menarik dan berkesan. Oleh itu, ia melibatkan kemahiran dan idea-idea kreatif seorang GBM bagi menguruskan hal-hal ini.
Dalam proses pengajaran ia melibatkan gabung jalin isi pelajaran dan aktiviti murid. Bagi mencapai matlamat pengajaran sekaligus menjamin keberkesanannya ia haruslah memberi fokus kepada kecenderungan murid. Ini melibatkan kebebasan memilih pendekatan serta teknik P&P mengikut kemampuan murid agar dapat memberi sepenuh perhatian. Dengan demikian, daya inovasi GBM menjadi asas dalam mencorakkan proses pengajaran supaya dapat mewujudkan keceriaan murid menerusi aktiviti-aktiviti pengajaran seperti melakukan eksperimen, demonstrasi, lakonan dan sebagainya yang memperlihatkan perkara-perkara praktikal.
Selain itu, kreativiti GBM dapat diwujudkan dalam menyampaikan isi pelajaran semasa proses P&P dengan mengaitkannya dengan isu-isu semasa yang menjadi sumber maklumat tambahan kepada murid-murid. Penerangan isi pelajaran dengan perkaitan sumber maklumat semasa akan mencambahkan minda dan pengetahuan sedia ada murid. Seterusnya hal ini akan membentuk kefahaman maksimum dan penerapan ilmu serta mendedahkan mereka kepada realiti dunia semasa.
Tuntasnya, kemahiran dan kebolehan para GBM dalam mengendali setiap proses P&P bergantung kepada keupayaan kreativiti dan inovasi mereka dalam mempelbagaikan corak penyampaian isi pelajaran. Justeru, proses pengajaran sedemikian akan menjadikan murid dapat mengikuti setiap isi pelajaran yang disampaikan serta dapat menguasai pemikiran mereka supaya dapat memberi sepenuh perhatian semasa proses P&P dilaksanakan.

KESIMPULAN
Keberkesanan proses pengajaran berinovasi dalam proses P&P merupakan aspek yang sangat penting dalam sistem pendidikan. Justeru, bagi meningkatkan dan memperhebat usaha-usaha ke arah amalan pengajaran berkesan memerlukan kepada daya inovasi GBM yang dapat menggunakan segala kebolehan dan kemahiran dalam menyampaikan isi pelajaran. Ini dapat dilakukan berdasarkan ketajaman idea-idea baru bagi menjana penguasan maksimum murid-murid terhadap ilmu pengetahuan yang disampaikan. Sungguhpun kemudahan teknologi pengkomputeran menjadi arus perdana masakini menjadi dasar kemajuan pembangunan baru, namun keberkesanannya dalam proses pengajaran hanya dillihat sebagai suatu sumber kemudahan yang tidak bersifat sepenuhnya. Oleh itu, adalah menjadi keutamaan bagi para GBM menggunakan daya inovasi mereka bagi mewujudkan kedinamikan proses P&P tanpa bergantung sepenuhnya dengan kemudahan teknologi pengkomputeran.

No comments:

Post a Comment