Pages

Tuesday, 14 August 2012

Pendekatan Konstruktivisme

Ilmu pengetahuan dan cara bagaimana manusia memperoleh ilmu pengetahuan telah mula menarik perhatian para pendidik seluruh dunia. Salah satu pandangan tentang cara manusia belajar dan memperoleh pengetahuan ialah secara Kognitivisme. Penggerak utama Kognitivisme adalah Jean Piaget.
Idea utama Kognitivisme adalah perwakilan mental. Semua idea dan imej dalam minda individu diwakili melalui struktur mental yang dikenali sebagai skema. Skema akan menentukan bagaimana data dan maklumat yang diterima akan difahami oleh minda manusia. Jika maklumat ini secocok dengan skema yang ada, maka murid akan menyerap maklumat tersebut ke dalam skema ini. Sekiranya tidak secocok dengan skema yang ada, maklumat ini mungkin ditolak atau diubah suai atau skema akan diubah suai. Bertitik tolak daripada pandangan Kognitivisme ini maka lahirlah satu pandangan tentang cara manusia belajar iaitu secara Konstruktivisme. Mengikut Konstruktivisme, pengetahuan dibina secara aktif oleh individu yang berfikir. Individu ini tidak menyerap secara pasif sebarang pengetahuan yang disampaikan oleh gurunya. Murid akan menyesuaikan sebarang maklumat baru dengan pengetahuan sedia ada mereka untuk membentuk  pengetahuan baru dalam mindanya dengan bantuan interaksi sosial bersama rakan dan gurunya.
McBrien & Brandt,1997 Konstruktivisme adalah satu pendekatan pengajaran berdasarkan kepada penyelidikan tentang bagaimana manusia belajar. Kebanyakan penyelidik berpendapat setiap individu membina pengetahuan dan bukannya hanya menerima pengetahuan daripada orang lain. Briner, M.,1999 Murid membina pengetahuan mereka dengan menguji idea dan pendekatan berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada, mengaplikasikannya kepada situasi baru dan mengintegrasikan pengetahuan baru yang diperoleh dengan binaan intelektual yang sedia wujud. Brooks & Brooks, 1993 Teori konstruktivisme menyatakan bahawa murid membina makna tentang dunia dengan mensintesis pengalaman baru kepada apa yang mereka telah fahami sebelum ini. Mereka membentuk peraturan melalui refleksi tentang interaksi mereka dengan objek dan idea. Apabila mereka bertemu dengan objek, idea atau perkaitan yang tidak bermakna kepada mereka, maka mereka akan sama ada menginterpretasi apa yang mereka lihat supaya secocok dengan peraturan yang mereka telah bentuk atau mereka akan menyesuaikan peraturan mereka agar dapat menerangkan maklumat baru ini dengan lebih baik. Sushkin, N., 1999 Dalam teori konstruktivisme, penekanan diberikan kepada murid lebih daripada guru . Ini adalah kerana muridlah yang berinteraksi dengan bahan dan peristiwa dan memperoleh kefahaman tentang bahan dan peristiwa tersebut. Justeru, murid membina sendiri konsep dan membuat penyelesaian kepada masalah. Autonomi dan inisiatif murid hendaklah diterima dan digalakkan. Nik Azis Nik Pa, 1999 konstruktivisme adalah tidak lebih daripada satu komitmen terhadap pandangan bahawa manusia membina pengetahuan sendiri. Ini bermakna bahawa sesuatu pengetahuan yang dipunyai oleh seseorang individu adalah hasil daripada aktiviti yang dilakukan oleh individu tersebut, dan bukan sesuatu maklumat atau pengajaran yang diterima secara pasif daripada luar. Pengetahuan tidak boleh dipindahkan daripada pemikiran seseorang individu kepada pemikiran individu yang lain. Sebaliknya, setiap insan membentuk pengetahuan sendiri dengan menggunakan pengalamannya secara terpilih. Oleh itu, Konstruktivisme adalah satu fahaman bahawa murid membina sendiri pengetahuan atau konsep secara aktif berdasarkan pengetahuan dan pengalaman sedia ada. Dalam proses ini, murid akan menyesuaikan pengetahuan yang diterima dengan pengetahuan sedia ada untuk membina pengetahuan baru.
Apabila pembelajaran secara konstruktivisme diamalkan dalam kelas, peranan murid dan guru akan berubah. Terdapat beberapa perubahan dalam bilik darjah khususnya tentang peranan murid dan guru serta cabaran cabaran yang mungkin dihadapi oleh mereka dalam pembelajaran secara konstruktivisme.
Peranan Murid
1.      Murid mengambil inisiatif mengemukakan soalan-soalan dan isu, kemudian secara individu mereka membuat analisis dan menjawab soalan-soalan itu. Mereka bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri dan boleh menyelesaikan masalah. Murid selalu berbincang dengan guru dan sesama mereka.
2.      Perbincangan itu akan membantu murid mengubah atau mengukuhkan idea-idea mereka. Jika murid itu berpeluang mengemukakan pendapat mereka dan mendengar idea orang lain, murid tersebut dapat membina asas pengetahuan yang mereka faham.
3.      Murid mencabar hipotesis yang telah dibuat dan digalakkan berbincang untuk membuat ramalan. Murid diberi banyak ruang dan peluang untuk menguji hipotesis mereka terutamanya melalui perbincangan dalam kumpulan.
4.      Murid menggunakan data dan bahan-bahan fizikal, manipulatif atau interaktif untuk menolong mereka menjana idea dan pengetahuan.

Peranan Guru
1.      Menggalakkan murid menerangkan idea mereka serta menghargai pandangan mereka.
2.      Menstruktur pelajaran untuk mencabar persepsi murid.
3.      Membantu murid menyedari kerelevanan kurikulum kepada kehidupan mereka.
4.      Mentaksir pembelajaran melalui aktiviti harian di kelas, bukan hanya dalam bentuk ujian bertulis.
5.      Menggalakkan murid membuat tugasan yang berbentuk penyelesaian, menganalisis, meramal, meneroka dan membuat hipotesis.
6.      Menggalakkan murid menerangkan lebih lanjut jawapan mereka.
7.      Menggalakkan penemuan oleh murid melalui pertanyaan soalan bercapah dan menggalakkan murid menyoal murid yang lain.
8.      Memberi masa secukupnya kepada murid untuk menjawab soalan setelah soalan dikemukakan.
9.      Memberi masa secukupnya kepada murid untuk membuat perkaitan antara idea-idea yang telah dijanakan.
10.  Menggalakkan pembelajaran koperatif dalam menjalankan tugasan tertentu.
11.  Membimbing murid mendapatkan jawapan yang tepat.

Walaupun terdapat beberapa kesulitan berkaitan dengan pelaksanaan pembelajaran secara konstruktivisme, kesulitan itu harus dipandang sebagai cabaran yang perlu diatasi oleh guru.

Sumber: Pusat Perkembangan Kurikulum

2 comments:

  1. Tuan, tahniah atas perkongsian ilmu. Dicadangkan tambah bibliografi untuk mempermudahkan pembaca membuat rujukan.
    Selamat maju jaya.

    ReplyDelete
  2. Your article is very nice .This is such a great resource that you are providing and you give it away for free.custom essay writing service

    ReplyDelete