Sunday, 14 August 2011

GURU BAHASA MELAYU

KETERAMPILAN PROFESIONAL GURU BAHASA MELAYU DALAM BILIK DARJAH
Guru bahasa Melayu yang profesional bermaksud guru yang mempunyai kemahiran dan kebolehan yang memuaskan untuk mengajar bahasa Melayu. Guru bahasa Melayu profesional adalah guru yang berkesan yang mempunyai kuasa keilmuan, menguasai matapelajaran yang diajar dan mengambil berat hal pelajarnya dan seterusnya dapat menghasilkan pelajar yang berkesan dan menghasilkan keputusan yang baik. Ciri tersebut terkandung dalam komponen kecekapan guru dalam tugas dari segi komitmen, latihan, pelaksanaan pengajaran, penguasaan kurikulum, penguasaan ilmu bahasa dan penguasaan komputer dan teknologi maklumat. Semua ini selari dengan pendapat Tucman (1995) melihat komponen profesional seorang guru terletak kepada kecekapan guru dari segi sikap dan kepercayaan, kecekapan kelakuan mengajar, dan pengetahuan matapelajaran. Manakala Brown (1994) menyentuh mengenai aspek pengetahuan teknikal, kemahiran pedagogi, kemahiran interpersonal, dan kualiti peribadi.

Ciri-ciri bagi seorang guru bahasa Melayu yang profesional adalah orang yang pernah mendapat latihan yang kursus dalam bidang yang diperolehinya.guru bahasa Melayu yang profesional seharusnya mempunyai sijil bertauliah daripada latihan ikhtisas. Sijil bertauliah ini adalah bukti kesanggupan memberi perkhidmatan yang bermutu tinggi dan boleh dipercayai melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan baik dan sempurna. Seorang guru bahasa Melayu yang memperolehi kemahiran profesional adalah guru yang cekap menjalankan tugasnya dan mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang matapelajaran yang diajarnya disamping itu seorang guru bahasa Melayu seharusnya mempunyai ketrampilan diri yang baik dari segi sahsiah dan bersikap dedikasi dalam tugasnya sebagai tenaga pengajar dalam matapelajaran bahasa Melayu dalam bilik darjah.
Matlamat yang hendak dicapai dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Negara.
Guru bahasa Melayu merupakan pemangkin wadah perjuangan untuk pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kritis dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh yang demikian, guru bahasa Melayu itu sendiri harus menguasai kemahiran dan pengetahuan yang terkini untuk menjalankan tugas mereka. Justeru, guru harus meningkatkan profesionalisme diri masing-masing. Profesionalisme diri merupakan hasil daripada suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam pembelajaran sepanjang hayat. Ia suatu proses di mana guru menyemak semula, membaharui dan melanjutkan komitmen mereka sebagai agen perubahan terhadap tujuan pengajaran; mereka menguasai dan memperkembangkan secara kritikal pengetahuan, kemahiran serta kecerdasan pelbagai yang diperlukan dalam pengajaran di bilik darjah.

Kesimpulannya seorang guru bahasa Melayu yang profesional harus meneruskan pendidikannya sepanjang hayat kerana faktor pendidikan sendiri mengalami pelbagai perubahan. Istilah-istilah baru, kaedah pengajaran-pembelajaran yang terkini, teknik-teknik pengajaran, inovasi dan penggunaan komputer dalam pendidikan adalah beberapa contoh perubahan yang signifikan dalam pendidikan.
Komitmen Guru Bahasa Melayu
Guru bahasa Melayu merupakan penggerak dan pendorong kepada semua proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.
Guru bahasa Melayu harus menggunakan segala kemahiran mengajar yang ada untuk menarik minat pelajar, bukan sahaja untuk meneruskan proses pembelajaran, malah untuk membantu mereka melangkah batasan keupayaan agar dapat terus maju dalam bidang akademik. Ini akan dapat membantu membina sifat daya saing pelajar- pelajar dan seterusnya meningkatkan kebolehan kemahiran diri mereka untuk terus maju dalam bidang akademik. Pelajar akan dapat mengikuti proses pengajaran dengan lebih mudah jika guru yang mengajar prihatin terhadap perkembangan dan keperluan semasa pelajar. Keprihatinan tersebut merangkumi sikap yang positif terhadap keupayaan pelajar, mengambil berat tentang kesejahteraan pelajar, menunjukkan sikap penyayang, mempunyai sikap yakin diri dalam melakukan proses pengajaran, serta memahami bahawa proses pengajaran-pembelajaran harus berlaku secara dua hala.
Penguasaan Kurikulum
Menurut Yahya Othman (2006) kurikulum bahasa Melayu menjadi asas pelaksanaan pengajaran dan pemelajaran dalam bilik darjah. Pengisian kurikulum merangkum unsur yang mencantumkan perkembangan terkini dalam pendidikan. Tambah beliau bagi memantap pendidikan bahasa Melayu, aspek pelaksanaan kandungan kurikulum perlu dikuasai oleh guru sebagai pelaksana dasar. Pengetahuan dan penghayatan terhadap kandungannya perlu diberikan penekanan oleh guru bahasa Melayu. Secara tidak langsung akan memantapkan lagi profesional guru bahasa Melayu dan pengajaran bahasa Melayu akan lebih berkesan dalam bilik darjah. Sikap guru terhadap kurikulum dan pengajaran menentukan kejayaan atau kegagalan penyebaran kurikulum tersebut. Pegangan sikap akan menentukan jumlah usaha, ketekunan dan keputusan guru sama ada kurikulum dianjurkan terlaksana. Guru bahasa Melayu perlu mempunyai lokus kawalan diri yang positif terhadap kurikulum dan pengajaran. Guru ini akan berinisiatif tinggi dan berperanan sebagai ‘pengusaha’ terbaik menterjemahkan pengajaran menyebar kandungan kurikulum bahasa Melayu.
Penguasaan Ilmu Bahasa
Menurut Yahya Othman (2006),  guru bahasa perlu memiliki ilmu dan ketrampilan dalam melaksanakan tugasnya dalam bilik darjah. Penguasaan ilmu bahasa oleh guru bahasa Melayu adalah penting bagi memastikan pengajaran bahasa dapat dilaksanakan dengan berkesan. Komponen ilmu bahasa yang dikuasai seperti aspek sistem bahasa (tata bahasa, sebutan, ejaan, istilah, kosa kata umum, dan laras bahasa) dan kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca, dan menulis)  akan dapat membantu guru bahasa Melayu menunjukkan keterampilan yang profesional dalam pengajaran bahasa melayu di bilik darjah.
Pelaksanaan Pengajaran
Bagi guru bahasa Melayu seharusnya dapat menguasai kemahiran mengajar bahasa sepenuhnya. Menurut Yahya Othman (2006) aspek pedagogi dianggap penting dalam pendidikan bahasa Melayu. Kemampuan guru mengendalikan pengajaran dan pemelajaran banyak dipengaruhi oleh seni pengajarannya di bilik darjah. Guru perlu menggunakan teknik pengajaran yang mampu menarik perhatian pelajar dan bukanya melaksanakannya cecara rutin yang dapat membosankan pelajar. Guru bahasa Melayu perlu menguasai strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran bahasa bagi mencapai objektif pengajaran tersebut. Seharusnya guru bahasa Melayu perlu memahami maksud konsep strategi, pendekatan, kaedah dan teknik dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa yang mampu dilaksanakan dalam bilik darjah. Secara tidak langsung aktiviti pengajaran dapat dilaksanakan secara sistematik, langkah demi langkah iaitu dari peringkat permulaan diikuti peringkat perkembangan konsep dengan penggunaan ilmu pengetahuan serta kemahiran dan diakhiri dengan aktiviti peneguhan dan pengukuhan setelah guru bahasa Melayu dapat menguasai pedagogi pengajaran dan ini akan dapat meningkatkan keterampilan profesional guru bahasa Melayu tersebut.
Penggunaan Komputer dan Teknologi Maklumat
Menurut Zakaria Kasa dan Aida Suraya Yunus (2001), bahan sokongan dalam bentuk pengajaran individu boleh dilaksanakan menerusi komputer.  Ini juga membolehkan pelajar belajar pada kadar berbeza, mampu menentukan arah pembelajaran sendiri dan belajar mengikut kemampuan sendiri. 
Menurut Yahya Othman (2006), keperluan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi memainkan peranan penting dalam mencorakkan pendidikan bahasa Melayu. Penggunaan komputer dalam pengajaran bahasa merupakan alat yang mampu menjadikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan. Aplikasi yang melibatkan mutimedia dalam menyampaikan pelajaran mampu menarik perhatian pelajar. Pembinaan bahan pemelajaran berasaskan aplikasi komputer secara intraktif pula membantu pelajar memahami kandungan dengan lebih mudah lagi.

Langkah-langkah Perkembangan Profesional Pengajaran Guru Bahasa Melayu
Latihan yang berterusan kepada guru-guru bahasa Melayu. Kementerian Pelajaran Malaysia perlu menjalankan kursus dalam perkhidmatan bagi meningkatkan ilmu pengetahuan bahasa dan inovasi pedagogi dalam pengajaran bahasa.
Kursus dalaman di peringkat sekolah bersama panitia matapelajaran dan guru-guru bahasa Melayu mengenai matapelajaran bahasa Melayu akan dapat memperkembangkan lagi peningkatan profesionalisme guru bahasa dalam pengajaran di bilik darjah.
Post Mortem mengenai kemahiran dan pengetahuan serta pengajaran bahasa memberi peluang guru menganalisis diri serta menyedari tentang kekuatan dan kelemahan diri. Langkah yang boleh dilakukan oleh guru untuk meningkatkan profesionalisme mereka ialah melalui penulisan jurnal dan membuat penyelidikan.
Pembentukan catatan memo tentang pengajaran dalam bilik darjah adalah sebagai cara guru meningkatkan profesionalisme diri seorang guru bahasa Melayu. Ia membantu guru mendokumentasi dan menerangkan tindakan mereka; membuktikan pengetahuan professional mereka dan membuat refleksi tentang apa, bagaimana dan mengapa mereka melakukan sesuatu tindakan dalam pengajaran.
Perkongsian Maklumat  perjumpaan dengan guru-guru bahasa Melayu dari sekolah lain yang berhampiran di Pusat Kegiatan Guru (PKG) untuk membincangkan dan membuat refleksi sesama mereka pengalaman mengajar topik-topik tertentu di samping mendapat input-input baru daripada fasilitator yang pakar dalam bidang bahasa Melayu. Dengan cara ini guru akan dapat menambahkan ilmu, ketrampilan dan berkongsi pengalaman bagaimana hendak memilih strategi terbaik untuk menyelesai masalah pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
oleh : WAN DYARUDIN BIN WAN MUSTAPPA
          wdya70@yahoo.com

1 comment: