Dunia era globalisasi kini
memperlihatkan perkembangan ilmu yang begitu pantas. Kemajuan dalam
teknologi maklumat memberi kesan secara langsung atau tidak langsung dalam
kehidupan dan sistem pendidikan. Perubahan demi perubahan yang berlaku itu
turut membawa bersama isu dan cabaran terhadap pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu di sekolah. Pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi oleh para
guru Bahasa Melayu dalam usaha mengembangkan potensi berbahasa seiring dengan
perkembangan dunia semasa.
Masyarakat bandar kini yang
semakin mementingkan Bahasa Inggeris telah menyebabkan pembelajaran Bahasa
Melayu semakin tercabar. Tugas guru yang sedia ada dalam memberikan pengajaran
dan bimbingan pengetahuan tentang bahasa Melayu serta tugas pentadbiran lain,
kini menggalas satu lagi peranan baharu bagi menanamkan keyakinan terhadap
bahasa kebangsaan ini. Justeru, guru perlu kreatif dan inovatif dalam mencari
dan mengubah suai pendekatan agar selari dengan keperluan pelajar. Dalam masa
yang sama guru juga perlu bijak dalam memupuk sikap cintakan bahasa kebangsaan
kepada pelajar yang telah dimomokkan dengan kepentingan bahasa Inggeris agar
tidak menimbulkan konflik lain.
Selari dengan keyakinan terhadap
bahasa Inggeris yang tinggi, hal ini telah membawa kepada per-ubahan sikap yang
ketara dalam kalangan pelajar terhadap Bahasa Melayu. Guru menggalas beban
dalam menjadikan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu lebih lancar dan
tersusun agar diminati oleh para pelajar. Dengan itu, bahasa yang disampaikan
perlu disesuaikan dengan aliran dan keperluan semasa.
Pendekatan pengajaran dan pembelajaran
bahasa Melayu khususnya pengajaran kemahiran menulis memerlukan contoh-contoh
sesuai yang terbaik dan menggunakan Bahasa Melayu yang standard. Keadaan ini
memerlukan guru menyediakan satu pendekatan yang menyeluruh merangkumi aspek
kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis. Dalam konteks ini guru
perlu mendalami ilmu bahasa dan ilmu pendidikan agar selari dengan perkembangan
semasa. Dengan pengetahuan bahasa dan ilmu pendidikan yang mendalam, para guru
Bahasa Melayu akan dapat mendepani segala cabaran dalam pengajaran dan pembelajaran
Bahasa Melayu di bilik darjah serta menjadi pakar rujuk kepada rakan sekerja
atau golongan yang memerlukan bantuan.
Selain itu, isu pengajaran
Bahasa Melayu juga sering dikaitkan dengan kekurangan guru opsyen Bahasa
Melayu. Akibatnya, guru besar atau pengetua terpaksa meminta guru bukan opsyen
untuk mengisi kekosongan ini. Dalam hal ini, Nik Safiah Karim (1980) berpendapat
banyak guru yang bukan sahaja tidak dapat mengajar bahasa Melayu dengan baik,
tetapi penguasaan bahasa Melayu mereka juga amat lemah. Jika ini berlaku, maka
akan mewujudkan masalah dalam melahirkan pelajar yang benar-benar
berketerampilan dari aspek penguasaan bahasanya. Lantaran itu, lahirlah
masyarakat yang makin jahil tentang bahasa ibunda dan bahasa kebangsaan
sendiri.
Krisis identiti “Bahasa
Melayu” yang mengalami “penjenamaan semula” kepada “Bahasa Malaysia” secara
tidak langsung telah mengikis kewibawaan bahasa itu sendiri. Perubahan demi
perubah-an dari segi nama dengan mula menggunakan “Bahasa Melayu” kemudian
menggunakan “Bahasa Malaysia”; kembali menggunakan “Bahasa Melayu” dan kini
berbalik semula kepada nama “Bahasa Malaysia”, sedikit sebanyak mencemarkan
imej bahasa kebangsaan ini dan mungkin mengelirukan pelajar dan masyarakat
umum. Pihak berkenaan harus mengkaji semula “penjenamaan” ini bagi mengelakkan
daripada mengelirukan pelajar. Persoalan yang bermain dalam minda pelajar
ialah yang mana satu betul sama ada “bahasa Melayu” atau “bahasa Malaysia”
Seorang pelajar pernah bertanya,
adakah “kebudayaan Melayu” itu sama dengan “kebudayaan Malaysia”? Kemudian
pelajar itu sendiri yang memberikan jawapannya. Menurutnya, kebudayaan Malaysia
merangkumi budaya semua kaum yang terdapat di negara ini. Justeru, ini
bermakna bahasa Malaysia ialah bahasa-bahasa yang digunakan oleh semua kaum di
Malaysia yang merangkumi bahasa yang dituturkan oleh orang Melayu, orang
Tionghoa, iaitu bahasa Mandarin dan orang India, iaitu bahasa Tamil.
Justeru, dalam mendepani isu
dan cabaran ini, pihak berwajib dan guru Bahasa Melayu harus bekerja keras dan
membuat anjakan dinamik untuk mengatasi cabaran yang getir ini bagi melestarikan
dan memartabatkan bahasa Melayu ke peringkat yang lebih tinggi
BERITA HARIAN Rabu, 16 Julai
2008
Mohd Isha Awang
Betapa halusnya sastra Melayu. Saya suka menikmati Melayu.
ReplyDelete