PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PCK) DALAM KONTEKS PENGAJARAN BAHASA MELAYU
PCK yang mula dicadangkan oleh Shulman (1986) telah dikembangkan bersama rakan setugasnya yang lain dalam projek ‘knowledge Growth in Teaching’ sebagai satu model perspektif yang lebih luas untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Projek ini telah mengkaji bagaimana guru-guru baru telah memperoleh kefahaman baru tentang isi kandungan dan bagaimana kefahaman baru ini mempengaruhi amalan pengajaran mereka. Shulman (1987) mengatakan bahawa PCK adalah gabungan antara pengetahuan isi kandungan dan pedagogi.
PCK ialah satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru dan ianya berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pengetahuan pedagogi (pengetahuan tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi kandungan (apa yang perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan pengetahuan pedagogi isi kandungan.
Shulman turut menghujahkan bahawa pengetahuan pedagogi isi kandungan PCK ialah pengetahuan yang unik kepada profesion perguruan. Pengetahuan ini membezakan seorang guru daripada seorang pakar bidang pengetahuan yang tidak mengajar dan perbezaan ini dapat dilihat di dalam pernyataan berikut:
‘kebolehan seorang guru untuk mengubah pengetahuan isi kandungan yang dimilikinya kepada bentuk yang sesuai untuk pengajaran serta sesuai dengan kebolehan dan latarbelakang pelajar’ (Shulman 1987:15)Pedagogi isi kandungan memainkan peranan yang penting sebab ia menyepadukan isi kandungan dan pedagogi untuk pembentukan kefahaman tentang bagaimana topik, masalah dan isu pengajaran diorganisasikan, diwakili dan diadaptasikan berdasarkan pelbagai minat dan kebolehan pelajar.
Pengetahuan pedagogi isi kandungan bagi seseorang guru bahasa Melayu melibatkan pengintegrasian sekurang-kurangnya tiga komponen utama. Komponen-komponen tersebut adalah pengetahuan isi kandungan dan konsepsi terhadap mata pelajaran, pengetahuan tentang kurikulum bahasa Melayu dan kefahaman pelajar, dan pengetahuan tentang strategi pengajaran. Magnusson, Krajcik dan Borko (1998) dalam Tengku Zawawi (2000) telah mengembangkan pengkonsepan PCK yang dikemukakan oleh Grossman (1990) dengan menyenaraikan lima komponen pengetahuan pedagogi isi kandungan iaitu;
(a) orientasi terhadap pengajaran bagi sesuatu mata pelajaran,
(b) pengetahuan tentang kurikulum,
(c) pengetahuan tentang kefahaman pelajar,
(d) pengetahuan tentang strategi pengajaran dan
(e) pengetahuan tentang kaedah penilaian.
Komponen ini boleh disesuaikan untuk pengajaran bahasa Melayu.
a) Pengetahuan isi kandungan orientasi pengajaran terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu. Isi kandungan sukatan pelajaran yang digubal bersesuaian dengan bahasa Melayu oleh Pusat Perkembangan Kurikulum adalah penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan harian semasa berinteraksi dengan orang lain, mengakses maklumat, dan untuk memahami bahan bacaan. Penggunaan bahasa ini dinyatakan dalam bentuk hasil pembelajaran. Hasil pembelajaran berteraskan kemahiran bahasa, iaitu kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis yang digabungkan dengan peraturan dalam sistem bahasa dan disokong oleh elemen pengisian kurikulum.
b) Pengetahuan tentang kurikulum bahasa Melayu. Hasil pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif kurikulum bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang jelas tentang apa yang boleh dicapai oleh pelajar. Oleh itu, hasil pembelajaran memerlukan pendekatan yang berfokus pada gaya pembelajaran pelajar. Justeru, hasil pembelajaran dapat membantu guru memilih kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan berkesan.
c) Pengetahuan tentang kefahaman pelajar. Hasil pembelajaran juga membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian kefahaman pelajar. Terdapat dua hasil pembelajaran dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, iaitu Hasil Pembelajaran Utama dan Hasil Pembelajaran Khusus. Hasil Pembelajaran Utama dapat dicapai dengan menguasai Hasil Pembelajaran Khusus. Penggunaan bahasa merangkumi tiga bidang utama, iaitu Bidang Interpersonal, Bidang Maklumat, dan Bidang Estetik. Bagi setiap bidang terdapat Hasil Pembelajaran Utama dan Hasil Pembelajaran Khusus yang perlu dikuasai oleh pelajar. Penggunaan bahasa bagi Bidang Interpersonal merujuk kepada kebolehan pelajar memulakan, membina, dan mengekalkan persahabatan serta perhubungan dengan orang lain. Penggunaan bahasa bagi Bidang Maklumat merujuk kepada keupayaan pelajar memperoleh dan menyampaikan maklumat serta ilmu. Penggunaan bahasa bagi Bidang Estetik merujuk kepada keupayaan pelajar menikmati karya sastera, melahirkan idea serta perasaan secara kreatif.
Kemahiran bahasa perlu difahami oleh pelajar yang meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Kemahiran bahasa merupakan teras kepada penguasaan sistem bahasa yang perlu difahami dan dikuasai oleh pelajar.
Kemahiran Mendengar
Kemahiran mendengar merujuk kepada keupayaan pelajar mendengar dengan teliti dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan.
Kemahiran Bertutur
Kemahiran bertutur merujuk kepada keupayaan pelajar menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif secara lisan dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.
Kemahiran Membaca
Kemahiran membaca merujuk kepada keupayaan pelajar membaca dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca.
Kemahiran Menulis
Kemahiran menulis merujuk kepada keupayaan pelajar mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan kemas. Pelajar juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan ilmu dan imaginatif.
Pelajar perlu mengetahui dan memahami Sistem Bahasa yang terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, peribahasa, ejaan, serta sebutan dan intonasi. Pelaksanaan sistem bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu membolehkan pelajar menggunakan dan mengamalkan bahasa Melayu baku.
d) Pengetahuan tentang strategi pengajaran bahasa Melayu. Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang mencantumkan perkembangan terkini dalam pendidikan meliputi aspek pengetahuan, peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran belajar cara belajar, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai, pembelajaran konstruktivisme, dan pembelajaran kontekstual. Semua elemen ini dapat diaplikasikan oleh pelajar dalam dunia pekerjaan. Di samping itu, pendidikan nilai, kewarganegaraan, dan patriotisme diberikan penekanan selaras dengan matlamat negara untuk membangunkan masyarakat madani. Oleh itu, guru bahasa Melayu perlu mempelbagaikan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran untuk mencapai objektif pengajaran bahasa Melayu. Strategi pengajaran bagi sesuatu topik merujuk kepada strategi atau kaedah spesifik yang dapat membantu pelajar memahami konsep bahasa yang spesifik. Strategi yang spesifik ini merangkumi induktif, deduktif, analogi, simulasi, dan kerja praktik yang efektif.
e) Pengetahuan tentang kaedah penilaian dalam pengajaran bahasa Melayu. Hasil penilaian dan pengujian yang dijalankan dapat dijadikan asas kepada guru bahasa Melayu untuk membuat keputusan berhubung dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah. Sepanjang guru mengajar, beliau akan menggunakan maklumat yang diperolehi bagi membuat keputusan yang perlu bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran yang bertujuan untuk diagnosis, melihat pencapaian, membuat pemilihan, menempatkan serta memberikan bimbingan kaunseling kepada pelajar. Kaedah menilai dalam pengajaran bahasa Melayu seperti teknik atau instrumen yang dapat menilai tahap penguasaan kemahiran dan kefahaman konsep. Guru juga perlu tahu kebaikan dan keburukan apabila menggunakan sesuatu kaedah penilaian tertentu.
oleh : WAN DYARUDIN BIN WAN MUSTAPPA
wdya70@yahoo.com
No comments:
Post a Comment