Friday 10 May 2013

GAYA PEMBELAJARAN


Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang tersendiri. Demikian juga, para guru Bahasa Melayu (GBM) yang mempunyai pandangan yang berbeza tentang gaya pembelajaran. Menurut Dunn (1980), gaya pembelajaran ialah cara seseorang pelajar memproses serta mengekalkan maklumat baru. Gaya pembelajaran bergantung kepada ciri-ciri biologi dan perkembangan sahsiah seseorang dan ia dipengaruhi oleh persekitaran, emosi, pengaruh sosial serta perasaan individu. Akibatnya, sesuatu pengajaran boleh jadi berkesan bagi seorang pelajar tetapi tidak berkesan bagi pelajar yang lain kerana gaya pembelajaran mereka berbeza.

Renzulli and Smith (1978) mentakrifkan gaya pembelajaran sebagai satu bidang strategi pengajaran yang mana pelajar cuba menuntut pembelajaran. Mereka berpendapat bahawa pelajar dapat belajar dengan lebih berkesan sekiranya pengajaran guru selari dengan gaya pembelajaran pelajar. Dengan ini, penyesuaian dalam pengajaran perlu dilakukan untuk melayani gaya pembelajaran pelajar.

Kolb (1985) dapat menggambarkan empat model pembelajaran yang asas hasil daripada gabungan pengalaman pelajar dan keperluan persekitaran. Beliau berpendapat bahawa dalam proses pembelajaran, semua pelajar yang berkesan perlu berkebolehan dalam aspek pengalaman konkrit (concrete experience), pemerhatian reflektif (reflective observation), konseptualisasi abstrak (abstract
conceptualization) dan eksperimentasi aktif (active experimentation).

Keefe (1987) berpendapat bahawa gaya pembelajaran merangkumi tiga aspek, iaitu kognitif, afektif dan psikologikal. Gaya kognitif melibatkan pememprosesan maklumat, gaya afektif melibatkan tindak balas yang berasaskan motivasi manakala gaya psikologikal bersifat tabiat yang berkaitan dengan unsur-unsur
seks, kesihatan dan alam sekitar. Beliau mentakrifkan pembelajaran sebagai satu proses dalaman dan berpendapat bahawa pembelajaran hanya berlaku apabila terdapatnya perubahan tabiat sama ada secara kekal atau sementara bagi seseorang individu.

National Association of Secondary School Principals yang terdiri daripada pakar-pakar teori dalam bidang gaya pembelajaran telah mentakrifkan gaya pembelajaran sebagai `satu komposit faktor-faktor bersifat kognitif, afektif dan psikologi yang berfungsi sebagai petanda-petanda stabil tentang cara mana se orang pelajar membuat persepsi, berinteraksi dan bertindakbalas dengan persekitaran pembelajarannya. Mengikut pasukan ini, gaya pembelajaran juga merangkumi gaya kognitif iaitu cara intrinsik pemprosesan maklumat yang mewakili mod membuat persepsi, pemikiran,
penyelesaian masalah dan cara mengingat kembali seseorang individu itu’ (Griggs, S.A., 1991).

Kesimpulannya, gaya pembelajaran adalah berasaskan ciri-ciri dalaman seorang individu itu. Kepelbagaian definisi gaya pembelajaran bukan sahaja menekankan aspek perbezaan individu tetapi menyokong pegangan bahawa perlakuan pembelajaran (learning behaviour) seorang individu itu adalah cukup stabil, tekal dan unik.

Jadi seorang GBM harus memahami kepelbagaian gaya pembelajaran pelajar supaya kaedah pengajaran yang sesuai boleh digunakan. Seharusnya, kaedah padanan (matching) gaya pembelajaran dengan gaya pengajaran harus dilakukan. Ini memandangkan dapatan kajian-kajian yang lepas (Dunn, Dunn & Price, 1989; Orsak, 1990; Perrin, 1990) yang mendapati pencapaian yang signifikan dalam pembelajaran apabila padanan dilakukan. Seandainya keadaan tidak mengizinkan, usaha harus ke arah menggunakan pelbagai pendekatan (provisioning) dalam pengajaran agar tuntutan gaya pembelajaran yang berbagai-bagai dalam bilik darjah dapat dipenuhi. Selain itu, GBM harus membantu pelajar-pelajarnya membuat flexing agar guru dapat menggunakan kesemua gaya pembelajaran mereka sampai ke tahap optimum. Tuntasnya, GBM harus memberi perhatian yang lebih teliti terhadap gaya pembelajaran pelajar dan menggunakan ketiga-tiga pendekatan, matching, flexing dan provisioning untuk meningkatkan keberkesanan pembelajaran di kalangan pelajar.






No comments:

Post a Comment