Saturday, 26 April 2014

PENYEDIAAN GURU YANG BERKESAN

FAKTOR penting yang menggerakkan kelancaran sistem pendidikan ialah guru atau pendidik. Guru adalah kumpulan pelaksana pendidikan formal yang diamanahkan untuk merancang, melaksana dan menilai kesan pengajaran dan pembelajaran. Oleh kerana tanggungjawab guru terhadap kejayaan misi dan pengisian wawasan pendidikan adalah tinggi maka wajarlah program pendidikan guru sentiasa dikemas kini supaya selaras dengan perubahan pesat yang berlaku dalam sistem pendidikan negara.

Dari segi penyediaan guru, falsafah Pendidikan Negara berhasrat menyediakan guru yang seumur hidupnya mencari ilmu dan mengamalkannya serta boleh menjadi model kepada insan terdidik pelajar dan masyarakat.
Perancangan dan pelaksanaan pendidikan guru dalam kurikulumnya mengambil kira matlamat menyediakan guru berkualiti yang dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai guru yang berkesan. Antaranya guru yang berpengetahuan, berkemahiran mempunyai nilai murni serta bersikap positif.
Situasi yang jelas dan kerap diperdebatkan ialah program pendidikan guru. Ini sudah pasti membabitkan kurikulum pendidikan guru itu sendiri. Malah dikatakan model pendidikan guru di negara ini tidak banyak berubah sejak 1960-an lagi (Prof Dr Abu Bakar Nordin: 1994). Banyak kritikan terhadap bakal guru yang terhasil daripada kurikulum pendidikan guru ini; banyak kelemahannya. Antara kelemahan yang dikenal pasti adalah:
  • Kurang pendedahan kepada pengurusan aktiviti kokurikulum;
  • Kurang kemahiran menjalankan aktiviti sukan;
  • Tidak memahami peraturan dan disiplin sekolah;
  • Kurang yakin mengawal disiplin bilik darjah;
  • Kurang pengalaman mengenai masalah yang wujud di sekolah;
  • Kursus terlalu berpusatkan kepada teori dan kurang amalan latihan;
  • Tidak cukup kemahiran dalam pengajaran; dan
  • Kurang kemahiran sosial.
Bersandarkan kritikan dan persoalan pendidikan guru masih belum mencapai tahap penghasilan guru berkualiti, maka perubahan dalam kurikulum pendidikan guru harus dilakukan.
Pendapat ini turut diketengahkan oleh Asiah Abu Samah (1992) yang menyatakan matlamat pendidikan guru di Malaysia kini adalah untuk melahirkan guru yang dapat menyesuaikan diri dengan dunia luar yang mencabar dan tidak lagi dikongkong oleh semangat kedaerahan. Mereka harus bersikap terbuka, bertoleransi, berdaya tahan dan berdaya saing serta mampu keluar dari sempadan yang membendung mereka.
Kothagen (1988), Shahrir dan Shahril (1989) menyatakan guru adalah permulaan yang berkesan dan perlu menjadi pengamal yang mahir serta dapat membuat refleksi secara kritis mengenai pedagoginya. Idea ini disokong oleh Reynolds (1988) bahawa guru permulaan perlu memiliki pengetahuan mengenai pelajaran yang diajar dan mempunyai kemahiran analitikal dalam mendapatkan maklumat mengenai murid dan sekolah. Ini dipersetujui oleh Glasser (1993) dalam The Quality of Teacher yang menyatakan guru seharusnya sentiasa memimpin dan menggalak dan tidak memerintah.
Wan Zahid Mohd Nordin (1993) menyenaraikan beberapa ciri guru yang amat rapat kaitannya dengan kejayaan seseorang guru sebagai pengurus dan pemimpin pendidikan. Oleh itu, seseorang guru adalah juga seorang pemimpin dan pengurus pembelajaran di bilik darjah.
Antara ciri yang diperlukan oleh guru ialah memiliki ilmu yang luas, sahsiah dan akhlak yang baik, mengamalkan nilai murni dan akhlak yang baik, bersifat terbuka, dinamik, asertif dan sentiasa menilai hasil kerja dan menilai diri sendiri.
Namun, ada beberapa andaian bahawa guru yang dilatih menguasai ilmu bidang pengajaran yang hendak diajarkan di sekolah. Mereka hanya perlukan kaedah. Oleh itu, timbullah beberapa masalah misalnya guru sains yang kurang pengetahuan sains dan guru bahasa yang kurang pengetahuan dalam bahasa.
Shulman (1986) menggambarkan mengenai kehilangan pengetahuan dalam pendidikan guru sebagai 'the lost paradigm' atau paradigma yang hilang, dengan penekanan kepada ilmu tidak diberi perhatian. Shulman menghuraikan fenomena itu sebagai:
"...In the oversimplification of the process of classroom teaching, investigator ignore one the most important aspects of classroom life: the subject matter. No one asked how subject matter was transformed from the knowledge of the teacher into content of instruction."
Kini jelas satu persoalan penting yang ingin dikemukakan ialah mengapakah tumpuan hanya diberikan kepada kaedah mengajar atau kaedah belajar yang efisien tetapi bukan kepada pengetahuan khusus yang berguna kepada guru? Penguasaan isi pelajaran adalah penting.

Oleh itu, menurut Relly (1989) anjakan paradigma perlu dibuat dalam sistem pendidikan guru yang selama ini berfokus kepada sistem pengajaran dan kognitif. Sebaliknya sistem itu harus diubah supaya berfokus kepada proses pembelajaran dan pelajar. 

No comments:

Post a Comment