Dalam konteks masyarakat moden, perkataan guru membawa maksud yang luas dan tidak terbatas. Individu yang melibatkan diri mereka sama ada secara formal atau tidak formal bagi menyampaikan ilmu pengetahuan atau kepandaian kepada orang perseorangan atau kelompok individu digelar sebagai guru (Atan Long, 1984).
Ahli-ahli sains sosial melabelkan golongan guru sebagai pendidik, pengajar, pengasuh dan pembimbing yang bertanggungjawab menyebar ilmu pengetahuan, mencorak tingkahlaku dan menunjukkan teladan yang baik kepada pelajar. Tugas terpenting guru adalah melaksanakan proses dan pedagogi pengajaran yang membolehkan pembelajaran berlaku mengikut matlamat dan mencorakkan pola perlakuan yang berkualiti dan berkesan.
Dari segi tanggungjawab, guru merupakan golongan profesional kerana profesion ini lebih mementingkan perkhidmatan daripada ganjaran kewangan dan merasa bertanggungjawab dalam semua tindakan dan keputusan yang dibuat. Guru yang berkualiti terdiri daripada mereka yang memiliki kriteria tertentu seperti keikhlasan, keazaman, kreativiti, dedikasi dan komited terhadap tugas dan tanggungjawab (Kamaruddin Hj Husin, 1992). Guru bukan sahaja menjadi pendidik dan pengasas kepada pengetahuan pelajar-pelajar tetapi juga menjadi pemimpin, penasihat dan agen perubahan dalam masyarakat. Sepanjang menjalankan tugas, matlamat guru adalah luhur demi memajukan pelajar, masyarakat dan negara. Dalam suasana dunia pendidikan yang begitu mencabar, guru dianggap sebagai pemimpin profesional. Begitu juga dengan guru bahasa Melayu yang menjalankan tugasnya mengajar dalam bilik darjah seharusnya mempunyai komitmen yang tinggi untuk mendidik pelajarnya.
Guru bahasa Melayu merupakan penggerak dan pendorong kepada semua proses pengajaran dan pembelajaran yang berlaku di kalangan pelajar-pelajar sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Kedua-dua peranan tersebut adalah penting dalam usaha membantu pelajar meningkatkan keinginan untuk meneroka alam akademik yang ada kalanya melampaui batasan keupayaan pelajar-pelajar untuk belajar terutamanya di zaman era globalisasi ini. Justeru, guru bahasa Melayu harus menggunakan segala kemahiran mengajar yang ada untuk menarik minat pelajar, bukan sahaja untuk meneruskan proses pembelajaran, malah untuk membantu mereka melangkah batasan keupayaan agar dapat terus maju dalam bidang akademik. Ini akan dapat membantu membina sifat daya saing pelajar-pelajar dan seterusnya meningkatkan kebolehan kemahiran diri mereka untuk terus maju dalam bidang akademik. Pelajar akan dapat mengikuti proses pengajaran dengan lebih mudah jika guru yang mengajar prihatin terhadap perkembangan dan keperluan semasa pelajar. Keprihatinan tersebut merangkumi sikap yang positif terhadap keupayaan pelajar, mengambil berat tentang kesejahteraan pelajar, menunjukkan sikap penyayang, mempunyai sikap yakin diri dalam melakukan proses pengajaran, serta memahami bahawa proses pengajaran-pembelajaran harus berlaku secara dua hala. Oleh itu gaya interaksi guru tersebut dengan pelajarnya akan dapat menggambarkan kesungguhan guru dalam membantu pelajar meneroka pengetahuan-pengetahuan baru. Ini seterusnya dapat meningkatkan komitmen guru tersebut terhadap profesyen perguruan yang diceburinya.
Guru-guru bahasa Melayu yang cemerlang sentiasa mempunyai komitmen dan minat yang tinggi terhadap subjek yang mereka ajar kepada para pelajarnya. Mereka mempunyai satu kefahaman bagaimana isi kandungan disusun dan boleh disepadukan serta berhubung dengan kandungan bidang-bidang lain yang berkaitan. Selain menguasai dan memahami sesuatu isi pelajaran, mereka juga mempunyai kefahaman dan mengetahui bagaimana hendak menyampaikan isi pelajaran tersebut kepada pelajar. Ini bermakna, mengetahui dan mahir dalam berbahasa belum lagi mencukupi. Seseorang guru bahasa Melayu itu mesti tahu bagaimana hendak menyampaikan pengetahuan bahasa Melayu tersebut dengan cara yang paling sesuai kepada para pelajar, agar ia mudah difahami. Selain dari itu, guru yang cemerlang berupaya memaksimum dan mengoptimumkan penggunaan bahan dan sumber pengajaran pembelajaran, di samping memiliki pelbagai koleksi bahan-bahan tersebut seperti, buku rujukan, panduan guru, perisian komputer, audio video dan sebagainya. Beberapa tokoh penyelidik dalam bidang pendidikan menyatakan bahawa terdapat sekurang-kurangnya tiga jenis pengetahuan utama atau pengetahuan profesional (professional knowledge) yang perlu dimiliki oleh setiap warga pendidik iaitu, (a) pengetahuan mata pelajaran, (b) pengetahuan pedagogi dan (c) pengetahuan tentang pelajar.
Pengetahuan mata pelajaran (content knowledge) adalah satu kefahaman yang mendalam tentang isi kandungan yang akan diajar. Matlamat yang hendak dicapai dalam mata pelajaran Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan murid yang berketrampilan berbahasa dan menghargai serta menghayati bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara, bahasa perpaduan dan bahasa ilmu, sesuai dengan semangat Rukun Negara dan Falsafah Pendidikan Negara. Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah telah menjelaskan objektif pengajaran bahasa Melayu adalah untuk membolehkan kanak-kanak bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dengan menggunakan bahasa yang sesuai dalam pelbagai keadaan perhubungan. Sementara dalam Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah menengah juga menggariskan 11 objektif yang merangkumi beberapa kemahiran berbahasa sebagaimana yang berikut; mendengar, memahami dan menghayati pertuturan yang terdapat dalam kehidupan sehari-hari; bertutur dengan petah dan membuah fikiran yang bernas serta menggunakan bahasa yang sesuai dan bertatasusila; membaca untuk memahami isi bacaan yang sesuai dengan kematangan; menjadikan pembacaan sebagai suatu kebiasaan dan amalan bagi mendapatkan pengetahuan dan hiburan; menulis pelbagai jenis karangan dan surat kiriman mengikut tajuk dan format yang betul; memahami dan mengisi borang yang sesuai dengan betul; menghargai dan menghayati nilai-nilai estetika dalam karangan prosa dan puisi; menggunakan bahasa Melayu untuk memperoleh pelbagai ilmu; menggunakan bahasa Melayu yang betul dalam lisan dan penulisan; memberi makna dan menggunakan peribahasa dalam konteks yang betul dan sesuai; dan menggunakan bahasa Melayu dengan berkesan untuk berkomunikasi antara ahli masyarakat yang berbilang keturunan.
Oleh itu, guru bahasa Melayu merupakan pemangkin wadah perjuangan untuk pelajar membina daya pemikiran yang analitikal, kritis dan kreatif bagi membentuk individu-individu yang boleh menyesuaikan diri dengan perubahan-perubahan yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh yang demikian, guru bahasa Melayu itu sendiri harus menguasai kemahiran dan pengetahuan yang terkini untuk menjalankan tugas mereka. Justeru, guru harus meningkatkan profesionalisme diri masing-masing. Profesionalisme diri merupakan hasil daripada suatu proses pemikiran profesional dan tindakan dalam pembelajaran sepanjang hayat. Ia suatu proses di mana guru menyemak semula, membaharui dan melanjutkan komitmen mereka sebagai agen perubahan terhadap tujuan pengajaran; mereka menguasai dan memperkembangkan secara kritikal pengetahuan, kemahiran serta kecerdasan pelbagai yang diperlukan dalam pengajaran di bilik darjah.
OLEH : WAN DYARUDIN BIN WAN MUSTAPPA (wdya70@yahoo.com)
No comments:
Post a Comment