Saturday, 14 April 2012

PROFESIONALISME GURU BAHASA MELAYU (GBM)

Sistem pendidikan di negara ini akan sentiasa bergerak maju ke hadapan. Perubahan-perubahan yang dilakukan dalam kurikulum pendidikan adalah untuk memenuhi kehendak negara merealisasikan sebuah negara maju pada masa hadapan. Setiap perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan yang diperkenalkan menjadi satu bentuk cabaran dalam profesion keguruan. Oleh itu adalah mustahak bagi individu yang berkecimpung dalam bidang ini sentiasa berusaha mempertingkatkan kecekapan, kebolehan prestasi dari semasa ke semasa.
Begitu juga dengan guru bahasa Melayu  (GBM) yang perlu mempunyai pelbagai pengetahuan seperti pengetahuan isi kandungan, pengetahuan pedagogi, pengetahuan teknologi, pengetahuan psikologi dan pengetahuan konteks, kemahiran bahasa, nilai, motivasi, dan dimantapkan lagi pelbagai kemahiran generik. Salleh(2003)Guru perlu menguasai atau mempunyai pengetahuan dasar minimum yang mencukupi sebagai guru. Antara pengetahuan minimum itu ialah
i. pengetahuan isi kandungan
ii. pegetahuan pedagogi am
iii. pengetahuan kurikulum
iv. pengetahuan konten pedagogi
v. pengetahuan tentang pelajar dan ciri-ciri diri
vi. pengetahuan konteks penting
vii. pengetahuan falsafah, matlamat, tujuan, nilai dan sejarah pendidikan.
Zamri Mahmood (2011) menyarankan supaya guru bahasa Melayu perlu menguasai Pengetahuan Pedagogi Kandungan (PPK) untuk menghasilkan guru cemerlang dan berkesan, inovatif dan kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.
Pengetahuan atau kemahiran GBM melalui pembelajaran teori dan latihan amali

Sebelum seseorang itu menjadi GBM, mereka perlu menerima latihan dalam perguruan untuk menjadi seorang guru yang bertauliah. Umpamanya, seorang guru mesti mempunyai Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebelum dia boleh mengajar di sekolah kerajaan. Walau bagaimanapun, sama ada  seseorang GBM itu menerima latihan perguruan atau tidak, mereka mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang mata pelajaran yang hendak diajarnya. GBM juga mesti mengetahui kaedah atau cara penyampaian dalam pengajarannya supaya murid-murid dapat memahami apa yang disampaikan olehnya.
Di samping itu, GBM haruslah mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta dicontohi oleh murid. Sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, bermurah hati dan sentiasa bersifat tenang. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah GBM adalah hasil daripada latihan yang membolehkan GBM menguruskan pengajarannya dengan berkesan. Latihan itu termasuklah kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori penyampaian pelajaran.
Selain tugas dalam bilik darjah, GBM juga mempunyai peranan-peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya GBM diharapkan menjadi pengganti ibu bapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukan sahsiah murid, menjadi kaunselor kepada murid-murid, menjadi pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang elok dan seterusnya menjadi contoh sahsiah yang baik kepada masyarakat. 

Mempertingkatkan Profesionalisme GBM
Sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab, guru hari ini perlu menyedari bahawa tugas dan amanah yang diberikan itu adalah untuk mendidik generasi yang akan menerajui negara ini. Oleh itu kemahiran dan pengetahuan mengenai method-method pendidikan harus diperkemas kan dari semasa ke semasa. Untuk mendepani cabaran dan tuntutan daripada perubahan-perubahan kurikulum berkenaan, GBM hendaklah berusaha melengkapkan diri dengan strategi-strategi pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik.
Sehubungan dengan kehendak tersebut GBM harus mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pendidikan , Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah. Contohnya para GBM boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme Keguruan. Kursus-kursus pendidikan yang dihadiri penting bagi seseorang GBM untuk mempertingkatkan keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks ini. Memandangkan keperluan pendidikan untuk menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan diharapkan dapat membuat anjakan paradigma kepada budaya yang berasaskan ilmu dan pemikiran( Rohani Abdul Hamid,1998)

GBM Berupaya Membuat Keputusan dan Menyelesaikan  Masalah Serta Berfikiran Kritis dan Kreatif 
Profesion keguruan sememangnya bidang kerjaya yang bukan sahaja mengajar atau mendidik anak bangsa, malah lebih daripada itu. Individu yang terlibat dalam profesion keguruan sebenarnya akan terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya. Sebagai pentadbir ataupun pengurus, GBM harus boleh membuat sesuatu keputusan dalam melaksanakan sesuatu tindakan dan menilai semula hasil sesuatu perkara yang dijalankan. Perubahan-perubahan dalam kurikulum pendidikan juga memerlukan GBM untuk menguasai kemahiran berfikir secara kritis dan kreatif. Pendekatan ini bukan sahaja perlu digunakan oleh GBM dalam pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah, tetapi jika perlu kaedah berfikir secara kritis dan kreatif boleh diaplikasikan dalam pentadbiran, mengurus ataupun dalam perancangan sesuatu program dan juga dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu.

GBM Mahir Menggunakan IT
Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui ‘online’. Para GBM pada hari ini perlu bersikap produktif, proaktif dan responsive terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju. Ilmu dan kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai GBM dapat digunakan sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti. Sebagai pemangkin, GBM menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut.
Hasrat Malaysia untuk menjadi negara maju pada tahun 2020, menyebabkan pembangunan negara bergerak dengan rancak. Pelbagai usaha dijalankan oleh kerajaan untuk membangunkan teknologi maklumat seperti koridor raya multimedia [ multimedia super corridor (MSC)] yang menjadi pusat telekomunikasi dan penyiaran serantau dan antarabangsa. Hal yang sama juga berlaku dalam kurikulum pendidikan  di negara ini, komputer telah dijadikan sebagai satu kurikulum di sekolah. Penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer merupakan salah satu bentuk kurikulum yang memerlukan profesion keguruan tahu dan menguasai teknologi maklumat. Penggunaan komputer dalam pendidikan membawa satu reformasi serta perkembangan baru dalam pelbagai bidang pendidikan, khasnya dalam teknologi pendidikan, teori pendidikan, teori-teori pengajaran-pembelajaran, pengurusan sekolah, sistem pentadbiran pendidikan serta kemahiran dan latihan guru ( Mok Soon Sang, 1996).
Dalam era teknologi maklumat seperti sekarang, GBM berhadapan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian, malah kemudahan teknologi telah menjadi satu cara hidup seperti penggunaan pengangkutan berasaskan teknologi  (LRT), perkhidmatan bank ( kad ATM), telekomunikasi (telefon bimbit), hiburan ( Video, VCD) dan lain-lain. Jadi GBM harus dapat menangani  kehidupan di era teknologi maklumat sehingga teknologi itu menjadi sebahagian daripada amalan biasa tanpa disedari. Oleh itu, profesion keguruan GBM harus memperlengkapkan diri secara global dalam perkembangan  penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi dalam kurikulum bahasa Melayu di sekolah.
 
GBM Berpengetahuan dan Berdaya Fikir Serta Berakhlak  
 
Seseorang GBM dalam profesion keguruan ini perlu serba tahu. GBM diharapkan dapat membawa isu-isu semasa untuk perbincangan dan mencari penyelesaiannya bersama-sama pelajar di dalam kelas. Contohnya, di Malaysia kadar kemalangan jalan raya adalah tinggi, pendidikan memandu kereta adalah satu perkara yang dipandang serius oleh kerajaan pada masa ini. Keselamatan di jalan raya dan cara-cara memandu yang selamat dan bertimbang rasa boleh dibincangkan di dalam kelas untuk menyedarkan pelajar tentang keperluan memperbaiki situasi yang terdapat sekarang, dengan harapan mereka tidak akan berkelakuan sedemikian apabila mereka menjadi pemandu kelak.
Melalui pembacaan GBM dapat menambah ilmu pengetahuan mengenai isu-isu semasa,  sama ada yang berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, jenayah : seperti peras ugut, pecah rumah, penculikan dan seumpamanya ; ekonomi : urusan perniagaan, jual-beli saham, hartanah dan sebagainya ; politik : hubungan negara di peringkat antarabangsa dan juga pergolakan politik sesebuah negara. Dalam hal seperti ini, GBM diharapkan dapat menggunakan kebijaksanaan dan inisiatif sendiri dalam menggunakan isu-isu semasa untuk dikaji dan dibincangkan dengan pelajar. 
Dalam perubahan-perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion keguruan GBM juga perlu menyediakan diri dengan amalan nilai dan akhlak yang terpuji.
Dalam kurikulum pendidikan peringkat rendah dan menengah telah ditegaskan nilai-nilai murni perlu diterapkan dalam pengajaran. Pelaksanaan penerapan nilai penting untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada negara pada masa hadapan. Hal yang sama juga perlu dihayati oleh GBM. Enam belas nilai murni yang disarankan dalam kurikulum pendidikan perlu dimiliki oleh GBM terlebih dahulu.







No comments:

Post a Comment