Sunday 12 August 2012

KONSEP PENGETAHUAN PEDAGOGI ISI KANDUNGAN (PPIK)


Pengajaran dan pembelajaran masa lalu, asas pengetahuan bagi pendidikan guru banyak berfokus kepada pengetahuan isi kandungan (Shulman 1986). Hanya sejak akhir akhir ini, pendidikan guru mula memberi tumpuan kepada bidang pedagogi (Magnusson, Borko & Krajcik 1998). Penyelidikan ke atas pedagogi lebih banyak tertumpu kepada penggunaan amalan pedagogi am dalam bilik darjah dan berasingan daripada sebarang mata pelajaran yang berkaitan. Bagaimanapun, terdapat beberapa orang penyelidik yang cuba menghidupkan semula perbincangan berhubung dengan perkaitan antara pengetahuan isi kandungan sesuatu topik, dengan amalan pengajaran bagi seseorang guru (Borko et al.1992; Borko & Putnam 1996; Magnusson et al. 1998).

Shulman (1986) telah memperkembangkan satu kerangka baru untuk pendidikan guru dengan memperkenalkan konsep pengetahuan pedagogi isi kandungan (PPIK). PPIK yang dicadangkan oleh Shulman (1986) telah dikembangkan dalam projek “Knowledge Growth in Teaching” sebagai satu model perspektif yang lebih luas untuk memahami proses pengajaran dan pembelajaran. Projek ini mengkaji bagaimana guru-guru memperoleh kefahaman baru tentang isi kandungan dan bagaimana kefahaman baru ini mempengaruhi amalan pengajaran mereka. Menurut Shulman (1987: 15):
PPIK ialah satu jenis pengetahuan yang unik bagi seseorang guru dan ia berdasarkan kepada cara guru mengaitkan pengetahuan pedagogi (pengetahuan tentang cara mengajar) yang dimiliki kepada pengetahuan isi kandungan (apa yang perlu diajar). Integrasi kedua-dua jenis pengetahuan tersebut menghasilkan pengetahuan pedagogi isi kandungan.
Menurut Shulman (1987) lagi, PPIK adalah salah satu daripada tujuh asas pengetahuan yang perlu dimiliki oleh seseorang pendidik. Tujuh asas pengetahuan tersebut ialah
(a) pengetahuan isi kandungan,
(b) pengetahuan pedagogi am,
(c) pengetahuan kurikulum
(d) pengetahuan pedagogi isi kandungan,
(e) pengetahuan tentang pelajar dan ciri-ciri pelajar,
(f) pengetahuan tentang konteks pendidikan dan
 (g) pengetahuan tentang matlamat-matlamat pendidikan.
Beliau turut berhujah bahawa PPIK ialah pengetahuan yang unik kepada profesion perguruan. Pengetahuan ini membezakan seorang guru daripada seorang pakar bidang. Menurut Shulman (1987), PPIK berkaitan dengan kebolehan seseorang guru untuk mengubah pengetahuan isi kandungan yang dimilikinya kepada bentuk yang sesuai untuk pengajaran serta sesuai dengan kebolehan dan latar belakang pelajar. Ini menunjukkan bahawa kefahaman dan keupayaan guru bukan sahaja bergantung kepada pengetahuan isi kandungan dan pengetahuan pedagogi tetapi juga bergantung kepada pengetahuan guru berkenaan dengan pedagogi yang berkaitan dengan subjek tertentu untuk pelajar yang khusus. Bagi konteks latihan perguruan pula, ini bermakna program pendidikan guru tidak boleh lagi 134 Jurnal Pendidikan Malaysia 34(1) menghadkan aktiviti berkaitan pedagogi dan penyeliaan bebas daripada konteks (Lilia 1997). Konteks di sini bermaksud subjek yang diajar atau isi kandungan.
Shulman juga mencadangkan supaya setiap orang guru mempunyai kefahaman tentang isi kandungan mata pelajaran untuk tujuan pengajaran. Seperti yang diperkatakan oleh Bromme (1994), idea utama yang mendasari konsep PPIK
ialah guru mengubah suai isi kandungan untuk tujuan pengajaran. Menurut Grossman, Wilson & Shulman (1989), konsep PPIK adalah di mana guru perlu “psychologize” sesuatu isi pelajaran untuk pelajar. Dengan kata lain, guru perlu fikirkan bagaimana hendak membina jambatan di antara kefahaman guru tentang isi kandungan dengan kefahaman pelajar berkenaan isi kandungan yang sama. Menurut Feiman-Nemser dan Buchmann (1986) serta Feiman-Nemser dan Remillard (1996), untuk membina jambatan ini, guru perlu memikir secara pedagogikal di mana guru perlu menimbangkan cara mengajar sesuatu mata pelajaran daripada perspektif pelajar, guru sendiri dan isi kandungan subjek tersebut. Satu lagi ciri penting PPIK ialah PPIK merupakan pengetahuan mengenai bagaimana hendak mengajar topik yang spesifik yang dapat meningkatkan kefahaman konseptual (Grossman 1990; Fernandez-Balboa & Stiehl 1995; De Corte, Greer & Verschaffel 1996). Menurut Shulman (1986), bagi sesuatu topik, PPIK melibatkan
(a) analogi, contoh, penerangan dan demontrasi yang efektif,
(b) kefahaman tentang aspek-aspek yang membuatkan pembelajaran topik itu senang atau susah,
(c) miskonsepsi pelajar tentang topik dan
(d) pengetahuan tentang strategi pengajaran yang efektif.

No comments:

Post a Comment