Saturday 26 April 2014

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU MEMPERKUKUHKAN BAHASA INGGERIS

Pada tarikh keramat iaitu 8 Julai 2009, pelaksaan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah dimansuhkan di seluruh sekolah di Malaysia dan diganti dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris(MBMMBI).
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) telah melaksanakan program memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) bermula tahun 2011 ini bagi menggantikan program Pengajaran dan Pembelajaran Sains Dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) atas dasar bahawa bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan, bahasa perhubungan, bahasa perpaduan serta bahasa ilmu merentas kurikulum yang penting bagi mencapai hasrat 1Malaysia. Memperkukuhkan bahasa Inggeris pula dilaksanakan dengan penuh kesedaran bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa komunikasi yang harus dikuasai  oleh generasi muda bagi persediaan bersaing di peringkat nasional dan peringkat global pada masa kini dan akan datang. Di samping itu hasrat  kerajaan  adalah  untuk membentuk   rakyat Malaysia  yang mempunyai jati  diri yang kuat, progresif, dinamik  ke arah mencapai negara maju. Justeru  itu , Kerajaan Malaysia bermatlamat   untuk melahirkan warganegara yang fasih dan yakin untuk menggunakan bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris  standard dalam perbualan dan urusan rasmi, penerokaan ilmu dan di alam kerjaya mengikut kesesuian dan keperluan. Seterusnya dapat membina modal insan yang mampu mengakses pelbagai ilmu melalui pelbagai media seperti  teknologi komunikasi maklumat (ICT) serta mempunyai minda yang kritis, inovatif dan kreatif.

Strategi memartabatkan bahasa Melayu ini melibatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah kebangsaan dan menengah  serta menambahbaikkan pendekatan  pengajaran dan pembelajaran  Bahasa Melayu. Manakala strategi dalam memperkukuhkan lagi bahasa Inggeris  melibatkan penambahbaikan kurikulum Bahasa Inggeris serta penyediaan guru dan bahan yang mencukupi serta berkualiti  bagi melaksanakan kurikulum tersebut. Sebelum membincangkan mengenai peranan guru dalam menjayakan MBMMBI ini kita lihat dahulu dengan lebih lanjut  berkaitan MBMMBI ini.

Definisi MBMMBI
Memartabatkan Bahasa Malaysia pula  adalah bermaksud meletakkan Bahasa Malaysia pada tempat yang sepatutnya, sesuai dengan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Malaysia. Bahasa Malaysia juga merupakan bahasa pengantar utama pendidikan berdasarkan Akta Pendidikan 1996. Memperkukuh Bahasa Inggeris membawa maksud memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa yang wajib dipelajari, bahasa komunikasi dan bahasa ilmu di peringkat nasional dan antarabangsa. Secara umumnya, frasa ‘memartabatkan bahasa Melayu’ didefinisikan sebagai memberi kedudukan tinggi lagi bermaruah serta berprestij kepada bahasa Melayu dalam kalangan penutur aslinya serta masyarakat lain, pada peringkat nasional, serantau dan global. Bahasa Melayu yang bermartabat adalah bahasa yang mempunyai kedudukan ekonomi yang tinggi, sebagaimana dibuktikan oleh bahasa-bahasa utama dunia khususnya bahasa Inggeris, Perancis dan Jepun.

Tujuan MBMMBI

Tujuan utama memartabatkan Bahasa Malaysia adalah kerana Bahasa Malaysia merupakan  bahasa yang telah diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan yang menjadi alat perpaduan, bahasa perhubungan utama dan bahasa ilmu ke arah membina negara bangsa untuk mencapai hasrat 1Malaysia. Bagi memartabatkan bahasa Melayu, ia tentu sekali perlu menjadi bahasa yang mendukung pelbagai disiplin ilmu dan digunakan sepenuhnya dalam pentadbiran negara, penggubalan dan perumusan undang-undang, perbicaraan kes di mahkamah dan sektor kehakiman, sektor perdagangan, ekonomi, korporat dan pasaran saham, kedoktoran, kejuruteraan, teknologi maklumat serta pelbagai bidang penting dan utama yang menunjangi kemajuan bangsa serta negara di pentas global. Tujuan utama memperkukuh Bahasa Inggeris pula adalah kerana Bahasa Inggeris merupakan bahasa komunikasi antarabangsa yang perlu dikuasai dengan baik dan berkesan bagi membolehkan penerokaan pelbagai ilmu untuk bersaing di peringkat nasional dan global.

1 comment: