Saturday 28 July 2012

Pembelajaran Koperatif

Pembelajaran Koperatif
Pengajaran dan pembelajaran tradisional yang berpusatkan guru ini tidak menepati
strategi yang disarankan di bawah Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM)
yang menekankan strategi berpusatkan pelajar. Strategi pemusatan pelajar menggalakkan
pelajar melibatkan diri secara aktif di dalam aktiviti pembelajaran dan bukan sebagai
penerima maklumat semata-mata. Sehubungan dengan itu, antara teknik-teknik yang sesuai
adalah kerja berkumpulan dan perbincangan sesama pelajar. Namun begitu, masalah yang
biasa timbul apabila teknik tersebut digunakan ialah hanya sebahagian kecil pelajar yang
melibatkan diri dan terdapat pelajar yang mengambil kesempatan di atas usaha rakan
yang lain atau tidak bekerjasama. Dengan mengambil kira aspek kognitif, tingkah laku,
emosi dan sosial pelajar, satu kaedah yang mengendalikan kerja berkumpulan di dalam
kelas mengikut prosedur tertentu telah diperkenalkan. Kaedah tersebut dikenali sebagai
pembelajaran koperatif (PK).
Pembelajaran Koperatif sebagai Satu Strategi Pembelajaran
Strategi PK merupakan satu proses pembelajaran yang berlaku secara berkumpulan dalam
menguasai bahan pengajaran yang diberikan oleh guru (Slavin, 1990). Cohen (1994)
mentakrifkan PK sebagai kerjasama yang dilakukan oleh pelajar dalam satu kumpulan
kecil yang melibatkan semua ahli di dalam tugas yang diberikan tanpa penyeliaan guru
secara langsung. Menurut Coelho (1994), selain daripada pencapaian akademik, kaedah
ini dikatakan menekankan pembangunan kemahiran sosial dan diasaskan mengikut
pandangan humanistik yang berpendapat pendidikan sepatutnya berpusatkan pelajar dan
di bawah kawalan pelajar, manakala guru hanya sebagai pembimbing dan pemudah cara.
Johnson, Johnson, Johnson, dan Anderson (1976) telah mendefinisikan PK sebagai
satu kaedah yang memerlukan pelajar belajar bersama-sama dalam menyiapkan satu
tugasan bagi setiap kumpulan. Ahli kumpulan akan saling bantu-membantu memberi
penerangan sesama mereka dan tidak bergantung kepada guru. Guru akan memberikan
pujian ke atas kumpulan yang menunjukkan hasil kerja yang memuaskan.
Di dalam kajian yang lain pula, Johnson, Johnson, dan Scott (1978) mentakrifkan
PK dengan membezakannya dengan kaedah pembelajaran individu. PK berlaku apabila
pencapaian seorang pelajar bergantung kepada pencapaian rakan sekumpulan. Sebaliknya
di dalam pembelajaran individu, pencapaian seorang pelajar tidak bergantung kepada
pencapaian pelajar lain. Di dalam PK, interaksi sesama pelajar diberi tumpuan di dalam
proses pembelajaran (Sharan, 1980; Slavin, 1987; Webb, 1982). Secara umumnya para
sarjana melihat PK sebagai satu strategi pembelajaran berkumpulan yang mana di
dalamnya pelajar berinteraksi sesama mereka dan saling bantu-membantu di dalam proses
pembelajaran. Di bawah PK, keupayaan pelajar yang berkebolehan tinggi dan sederhana
boleh dimanfaatkan untuk membantu pelajar yang berkebolehan rendah. Kajian-kajian
di luar negara menunjukkan PK berupaya meningkatkan pencapaian pelajar di dalam
pelbagai mata pelajaran untuk semua peringkat pendidikan (Johnson, Maruyama, Johnson,
Nelson, & Skon, 1981). Kajian kes yang dibuat oleh Lindquist (1995) ke atas kelas audit
mendapati pencapaian pelajar meningkat dengan kegunaan PK.
Selain daripada pemahaman konsep, pendidikan perakaunan juga merupakan satu
mata pelajaran yang berbentuk penyelesaian masalah. Di dalam situasi PK, pelajar tidak
mudah putus asa di dalam menyelesaikan masalah tugasan di samping lebih bersifat terbuka
untuk menerima strategi-strategi alternatif (Duren & Cherrington, 1992). Dapatan kajian
Johnson, Skon, dan Johnson (1980) mendapati situasi PK mengatasi situasi pembelajaran
individu dan persaingan dari segi pencapaian dalam aspek penyelesaian masalah.
Pembelajaran Koperatif Mengikut Perspektif Teoritikal
Strategi PK dikatakan dapat meningkatkan pencapaian akademik pelajar berdasarkan
teori-teori tertentu. Terdapat beberapa teori pembelajaran yang menerangkan kesan PK ke
atas pencapaian (Slavin, 1990, 1995). Gabungan teori-teori tersebut dapat digambarkan
melalui Rajah 2. Di bawah PK, interaksi sesama pelajar penting di dalam proses
pembelajaran. Menurut Slavin (1987), berlakunya interaksi sesama ahli kumpulan yang
membezakan PK dengan kumpulan kontingensi. Di dalam kumpulan kontingensi, ahli
kumpulan akan menggunakan hukuman sosial sesama mereka tanpa memerlukan interaksi untuk memastikan ahli kumpulan bertingkah laku seperti yang dikehendaki. Sedangkan
PK menekankan interaksi pelajar perlu berlaku bagi meningkatkan pencapaian. Dapatan
beberapa kajian menunjukkan terdapat hubungan antara interaksi pelajar di dalam
kumpulan dengan pencapaian mereka (King, 1990; Peterson & Swing, 1985; Ross &
Raphael, 1990).
Bagi mendorong pelajar berinteraksi sesama ahli kumpulan, terdapat dua teori yang
dikemukakan. Teori kohesif sosial mencadangkan pelajar akan berinteraksi apabila
mereka mengenali rakan sekumpulan dan mengambil berat antara satu sama lain.
Penekanan yang diberi adalah mewujudkan hubungan yang rapat sesama ahli kumpulan.
Maka aktiviti bagi mengeratkan hubungan ahli kumpulan dan penilaian diri dalam
kumpulan dititikberatkan. Bagi teori kohesif sosial, tugasan yang mencabar sudah cukup
untuk menarik minat pelajar menyelesaikan tugasan secara berkumpulan. Maka ganjaran
kumpulan dan tanggungjawab individu tidak dipentingkan.
Sebaliknya, teori tingkah laku mencadangkan ganjaran adalah perlu sebagai
motivasi untuk pelajar berinteraksi sesama mereka. Bahkan, ganjaran juga perlu untuk
mendorong pelajar mengambil berat antara ahli kumpulan. Struktur ganjaran yang
berbentuk koperatif akan mendorong pelajar merasa penting untuk membantu ahli
kumpulan dan memberi sokongan sesama mereka bagi mencapai matlamat kumpulan.
Tanpa adanya ganjaran, pelajar kurang berminat untuk melibatkan diri di dalam aktiviti
kumpulan kerana tidak merasakan kepentingan untuk berbuat demikian (Slavin, 1995).
Semasa berinteraksi, berlaku perubahan di dalam kognitif pelajar. Teori
perkembangan kognitif menyarankan apabila pelajar berbincang berkaitan dengan
bahan pembelajaran, mereka berupaya menguasai konsep-konsep yang sukar.
Melalui bimbingan rakan sebaya, pencapaian pelajar yang berkebolehan rendah dapat
ditingkatkan sehingga berupaya mencapai zon perkembangan proksimal mereka.
Menurut Vygotsky, zon tersebut merupakan tahap pencapaian pelajar yang hanya boleh
dicapai dengan bantuan orang dewasa atau rakan mereka yang lebih berkebolehan (Tudge, 1990). Piaget (Slavin, 1990) berpendapat konsep-konsep sosial yang abstrak
hanya dapat difahami melalui perbincangan. Apabila berlaku pertentangan pendapat,
timbul ketidakseimbangan di dalam kognitif pelajar. Berdasarkan maklum balas yang
diterima daripada rakan-rakan, pelajar tersebut dapat menguasai sesuatu lojik dengan
alasan yang lebih kukuh.
Manakala teori penerangan kognitif berpendapat pelajar yang memberi penerangan
berupaya mengekalkan maklumat di dalam ingatan mereka dalam jangka masa yang
lebih panjang dengan berlakunya proses pengajaran kepada rakan-rakan (Slavin, 1995).
Pelajar yang memberi penerangan melihat diri mereka sebagai guru dan bertujuan untuk
membantu rakan memahami pelajaran. Pelajar tersebut cenderung untuk memikirkan cara
yang sesuai bagi mengajar rakan mereka. Maka, berlaku proses penstrukturan semula di
dalam kognitif pelajar tersebut ketika membuat persediaan untuk memberi penerangan
dan ketika sedang memberi penerangan. Pada masa yang sama, pelajar yang menerima
pertolongan bertindak sebagai pemproses maklumat dan bukan penerima yang pasif
(Webb, 1982).
Keempat-empat teori pembelajaran tersebut lebih merupakan pelengkap dalam
menerangkan kesan PK ke atas pencapaian. Melalui interaksi sesama pelajar, berlaku
peningkatan di dalam proses kognitif pelajar yang membantu proses pembelajaran. Bagi
mewujudkan suasana berinteraksi, pelajar perlu saling kenal-mengenali dan perlu ada
sesuatu yang mendorong mereka untuk bekerja di dalam kumpulan, sama ada melalui
aktiviti mengeratkan hubungan mereka atau pun dengan pemberian insentif.

No comments:

Post a Comment